Pada awal bulan Februari iaitu pada 1 hingga 7 Februari 2020, R-TIHiLS telah mengadakan lawatan ke Provinsi Kepulauan Riau iaitu ke Kabupaten Tanjung Pinang di Pulau Bintan dan Kabupaten Daik Lingga di Pulau Lingga.

Tujuan lawatan ini adalah untuk menyelidik dan mendokumentasikan warisan sejarah dan budaya di Tanjung Pinang dan Daik Lingga dalam usaha untuk melengkapkan lagi sejarah Terengganu sama ada dari sudut pemerintahan, sejarah dan budaya.

Lawatan ke kediaman Tuan Haji Said Barakbah Ali di Gang Putri Mekar Sari II, Jalan Batu Kucing, Sei Jang, Bukit Bestari, Tanjung Pinang menemukan beberapa koleksi peribadi milik beliau. Beliau yang berasal dari Pulau Lingga menyimpan beberapa koleksi tekstil dan busana turun temurun.

Kesemua tekstil dan busana ini telah diambil gambar dan dikenalpasti jenis-jenisnya untuk rujukan serta sebagai sumber bagi ilmu mengenai tekstil dan busana Melayu Terengganu. Kewujudan tekstil Terengganu di wilayah Kepulauan Riau juga menjadi bukti nyata tentang kesan dan pengaruh budaya Terengganu di Alam Melayu.

Lawatan ke Rumah Peninggalan Almarhum Tengku Muhammad Saleh Damnah di Jalan Masjid Sultan Lingga, Pulau Lingga menemukan koleksi manuskrip lama peninggalan Tengku Muhammad Saleh, waris keturunan Sultan Mahmud Riayat Syah dan juga ulama’ besar di Pulau Lingga. Penulisan beliau yang terkenal adalah kitab Nurussalah yang masih dijadikan sumber pengajian bagi asas ibadah solat di Lingga.

Daripada keseluruhan manuskrip dan penulisan, 25 peratus daripadanya telah disemak dan diteliti yang mana kesemuanya adalah bertulisan tangan. Baki 75 peratus manuskrip yang tidak diteliti itu rata-ratanya adalah manuskrip bercetak yang terdiri daripada kitab-kitab yang diterbitkan pada era percetakan besar-besaran kitab Melayu. Sebanyak 116 dokumen bertulisan tangan telah dikenalpasti.

Penelitian ringkas yang dilakukan tidak menemukan sebarang dokumen pentadbiran yang boleh dijadikan bukti hubungan langsung di antara Terengganu dan Daik Lingga tetapi terdapat beberapa manuskrip agama menemukan sumber rujukan keilmuan terutamanya tentang ilmu tasawuf. Terdapat catatan ilmu tasawuf yang bersumberkan dari Syeikh Abdul Malik bin Abdullah atau lebih dikenali sebagai Tok Pulau Manis. Ini merupakan bukti bahawa ulama Terengganu menjadi sumber rujukan keilmuan bagi bidang tasawuf sehingga ke Pulau Lingga.