Penyelidikan bahan di Bahagian Arkitek, Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Terengganu telah dijalankan bermula 8 Mac hingga 20 April 2022. Penyelidikan ini melibatkan dua buah almari pelan yang mengandungi sejumlah 663 bahan. Kajian ini memakan masa selama sebelas hari yang diadakan secara berkala.

Penyelidik mengumpulkan maklumat berkenaan dengan tarikh bahan, kualiti bahan serta nilai dan kepentingannya terhadap negeri Terengganu. 44% daripada bahan-bahan ini telah berjaya dijadikan salinan digital manakala selebihnya direkodkan secara manual.

Bahan-bahan seumpama ini adalah penting dalam perekodan maklumat perkembangan teknologi kejuruteraan awam serta rekabentuk bangunan-bangunan penting sama ada masih wujud atau pernah wujud di negeri Terengganu Darul Iman.

Sebilangan besar daripada bahan-bahan ini terdiri daripada pelan bangunan kerajaan Terengganu, reka bentuk dan susun atur istana di Terengganu serta bangunan yang pernah wujud pada zaman kolonial.