Pada 1 Ogos 2022, Isnin, satu penyelidikan telah dijalankan di Perpustakaan Peringatan Za’ba (PPZ), Universiti Malaya. Penyelidik tiba di bangunan Perpustakaan Pusat dan dibawa ke Pejabat Ketua Pustakawan pada jam 9.00 pagi. Kemudiannya, kakitangan di pejabat berkenaan memberikan tunjuk arah ke bangunan Perpustakaan Peringatan Za’ba memandangkan konteks kajian dan bahan berkaitan berada di bawah simpanan perpustakaan berkenaan.
Penyelidik tiba di PPZ pada jam 9.40 pagi dan disambut oleh Puan Hanani Fauzi yang mana merupakan Pustakawan Kanan di perpustakaan berkenaan. Puan Hanani telah membantu penyelidik untuk memahami protokol dan kaedah untuk menggunakan perkhidmatan di perpustakaan berkenaan.
Puan Hanani juga menerangkan bahawa koleksi yang berada di PPZ rata-ratanya koleksi manuskrip bercetak nadir dan salah satu daripada fokus utama perpustakaan berkenaan adalah mendapatkan, menyimpan dan memelihara bahan penerbitan bercetak sebelum merdeka. Selain itu juga, laporan-laporan badan kerajaan, dan bahan-bahan pentadbiran bercetak daripada mana-mana kerajaan negeri dan persekutuan juga disimpan di perpustakaan ini.
Penyelidik telah mengakses katalog dalam talian dan menemukan beberapa manuskrip dan dokumen berkaitan tentang Terengganu. Kesemua dokumen berkenaan telah diteliti dan direkodkan di pusat berkenaan.