Pada 4 Ogos 2022, penyelidik R-TIHiLS telah melakukan lawatan ke Perpustakaan Tun Seri Lanang (PTSL) di Jalan Nik Ahmed Kamil, Universiti Kebangsaan Malaysia. Penyelidik tiba di PTSL pada jam 11.00 pagi sebelum ke Pejabat Perpustakaan dan telah disambut oleh Cik Noor Farhana Binti Mohd Saleh, yang merupakan Pustakawan di perpustakaan berkenaan.

Cik Noor Farhana memberi penerangan mengenai proses penyelidikan di semua prasarana perpustakaan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). PTSL merupakan perpustakaan pusat di UKM dan mengendalikan enam (6) perpustakaan cabang iaitu:

  1. Perpustakaan Dr. Abdul Latiff
  2. Perpustakaan Undang-Undang
  3. Perpustakaan Lingkungan Kedua
  4. Perpustakaan Alam dan Tamadun Melayu
  5. Perpustakaan Hospital Canselor Tuanku Muhriz Pusat Perubatan UKM
  6. Muzium Warisan Akademik (Muzium UKM)

Bagi bahan di perpustakaan UKM, terdapat dua jenis bahan yang mana terdiri daripada bahan pinjaman yang boleh dipinjam oleh pengguna dan bahan rujukan yang mana tidak boleh dipinjam dan hanya boleh dibaca di dalam ruangan rujukan perpustakaan sahaja. Kesemua koleksi nadir dan bahan-bahan arkaik yang berada di dalam simpanan UKM merupakan bahan rujukan. Oleh itu, Cik Noor Farhana menyatakan bahawa masa penyelidikan perlulah dirancang terlebih dahulu untuk memanfaatkan peluang dan sesi akses bahan.

Cik Noor Farhana juga memberikan penerangan serta kaedah untuk membuat capaian kepada katalog dalam talian UKM yang dikenali sebagai Gemilang, yang mana sehingga kini, terdapat kira-kira enam ratus ribu (600,000) judul bahan telah dimuatnaik di dalam sistem katalog ini.

Bagi melayakkan capaian kepada perkhidmatan perpustakaan, Cik Noor Farhana juga memaklumkan bahawa terdapat bayaran keahlian perlu dilakukan oleh mana-mana penyelidik luar yang ingin mengadakan penyelidikan di mana-mana kemudahan perpustakaan. Penyelidik yang berminat perlu mendaftar di Pejabat Perpustakaan dengan membawa sekeping gambar berukuran pasport dan perlu membayar dengan jenis keahlian perseorangan. Penyelidik perlu memilih sama ada kadar harian iaitu sebanyak Ringgit Malaysia Dua Puluh Sahaja bagi sehari (RM20.00/hari) ataupun Ringgit Malaysia Dua Ratus Sahaja bagi setahun (RM200.00/tahun).

Bagi bahagian Koleksi Arkib perpustakaan, waktu capaian bagi koleksi berkenaan hanyalah pada waktu pejabat sahaja dan bagi bahagian Koleksi Dokumen pula, waktu capaian adalah dari 8.00 pagi sehingga 10.00 malam.

Perbincangan dengan Cik Noor Farhana tamat pada jam 2.00 petang dan penyelidik telah membuat carian secara dalam talian dengan bantuan kakitangan PTSL dan memperoleh senarai ringkas bahan-bahan yang berkaitan dengan Terengganu. Namun, proses permohonan untuk meneliti bahan berkenaan masih belum dapat dilakukan kerana waktu operasi PKP tamat pada minggu hadapannya.