Usaha R-TIHiLS untuk mencari dan mendapatkan dokumen dan bahan bertulis mengenai negeri Terengganu Darul Iman telah diteruskan di Singapura dalam satu lawatan penyelidikan ke negara kota berkenaan. Lawatan penyelidikan ini mengambil masa selama tiga hari dari 18 hingga 20 Ogos 2023 yang mana disertai oleh Ketua Pegawai Eksekutif R-TIHiLS, Dato’ Haji Mohd Yusof bin Abdullah serta dua penyelidik iaitu En. Mohd Naim bin Abdul dan En. Rafiuddin Afiq bin Rujunaidi.

Dua hari pertama penyelidikan difokuskan kepada pencarian dokumen-dokumen yang tersimpan di Arkib Negara Singapura yang terletak di Canning Rise. Usaha untuk mengakses perkhidmatan yang disediakan di arkib berkenaan dibantu oleh En. Joshua Kwah yang merupakan Juruarkib 1, Perkhidmatan Arkib. Beliau telah memberi tunjuk ajar tentang proses untuk melihat dokumen yang telah dipohon di dalam talian yang mana dikenali sebagai sistem eRequest Arkib Negara Singapura. Beliau juga memberi penjelasan mengenai jenis dokumen yang mempunyai akses terhad yang tidak boleh dipohon salinan.

Pada penyelidikan kali ini, sebanyak empat belas bahan berkaitan Terengganu diperoleh. Usaha untuk mendapatkan lagi bahan tidak berjaya kerana terdapat sebilangan besar dokumen perlu mendapatkan kelulusan tambahan daripada agensi kerajaan Singapura yang lain.

Pada hari ketiga, pasukan R-TIHiLS membuat lawatan ke kawasan sekitar Masjid Sultan dan Istana Kampung Glam. Kemudiannya lawatan diteruskan ke Muzium Negara Singapura di Stamford Road. Lawatan diakhiri dengan singgah ke Pasar Geylang Serai serta Wisma Geylang Serai.