PEKAN, 6 NOVEMBER 2025 – Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah menerima kunjungan hormat daripada delegasi Royal Terengganu Institute for Historical and Legal Studies (R-TIHiLS) dalam usaha memperkukuh jaringan kerjasama serta berkongsi pengalaman berkaitan pengurusan bahan sejarah, arkib dan penyelidikan.

Ketibaan rombongan R-TIHiLS telah disambut mesra oleh Ketua Pustakawan UMPSA, Cik Hajah Kamariah Gono, bersama-sama staf Arkib Universiti. Lawatan tersebut menjadi platform penting untuk bertukar pandangan mengenai pengurusan koleksi, pemeliharaan bahan arkib serta usaha pendokumentasian khazanah sejarah yang bernilai untuk generasi akan datang.

Delegasi R-TIHiLS diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Dato’ Haji Mohd Yusof bin Abdullah, dan turut disertai oleh dua pegawai penyelidik, iaitu Encik Rafiuddin Afiq bin Rujunaidi dan Encik Muhammad Khairul Fadzli bin Khairu.

Sepanjang lawatan, delegasi berpeluang meninjau kemudahan perpustakaan dan arkib yang terdapat di UMPSA serta mendapatkan penerangan mengenai amalan terbaik dalam pengurusan rekod, pemuliharaan bahan sejarah dan penyediaan akses kepada sumber maklumat untuk tujuan penyelidikan.

Lawatan ini diharapkan dapat membuka ruang kepada kerjasama yang lebih erat antara kedua-dua institusi, khususnya dalam bidang penyelidikan sejarah, pengurusan arkib serta pemeliharaan warisan ilmu yang mempunyai nilai tinggi kepada masyarakat dan negara.

Program berakhir dengan sesi bergambar dan pertukaran cenderamata sebagai tanda penghargaan serta simbolik kepada hubungan baik yang terjalin antara UMPSA dan R-TIHiLS.