Ketua Pegawai Eksekutif R-TIHiLS, Dato’ Haji Mohd Yusof Abdullah telah dipilih oleh Persatuan Sejarah Malaysia untuk menerima Anugerah Felo Persatuan Sejarah Malaysia bagi tahun 2023. Majlis penganugerahan ini telah dianjurkan pada 11 Mei 2024 di Dewan Aminuddin Baki, Wisma PSM, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur.

Penganugerahan ini telah diputuskan pada Mesyuarat Tahunan Majlis PSM untuk tahun 2023. Mesyuarat ini telah memutuskan untuk menganugerahkan Felo PSM kepada Dato’ Haji Mohd Yusof Abdullah yang mana sedang berkhidmat sebagai Ketua Pengarah Eksekutif R-TIHiLS dan Pengerusi Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Terengganu (PSMCT) serta Datuk Wira Dr. Mohd Yusoff Hashim yang mana merupakan sejarahwan dari Universiti Malaya.

Dato’ Haji Mohd Yusof Abdullah telah dipilih untuk menerima anugerah berprestij bagi Persatuan Sejarah Malaysia kerana sumbangan dan penglibatan beliau dalam bidang pensejarahan khususnya di negeri Terengganu Darul Iman. Beliau yang merupakan mantan Pengarah Lembaga Muzium Negeri Terengganu (LMNT) juga bergerak aktif di Terengganu dalam bidang pemuziuman, sejarah, seni dan budaya.

Beliau yang mana merupakan anak jati kelahiran Terengganu telah dilahirkan di Kampung Duyong Surau Putih, Pulau Duyong Besar, Kuala Terengganu. Pendidikan beliau bermula di SK Duyong sebelum melanjutkan pelajaran di SMK Tengku Bariah dan Maktab Adabi Kuala Terengganu. Seterusnya beliau telah melanjutkan pelajaran di Universiti Malaya dan memperoleh Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Pengajian Melayu dan Ijazah Sarjana Sastera.

Kerjaya beliau bermula di Lembaga Muzium Negeri Terengganu sebagai Kurator dan Pengarah sehingga bersara. Setelah itu, beliau dilantik sebagai Pengarah Eksekutif dan seterusnya Ketua Pegawai Eksekutif Institut Kajian Sejarah Dan Perundangan DiRaja Terengganu (R-TIHiLS) sehingga kini. Beliau juga bergerak aktif dalam Persatuan Sejarah Malaysia sejak 1981 sebelum dilantik sebagai ahli jawatankuasa kerja dari tahun 1985 hingga 1996. Pada tahun 2001 hingga 2017, beliau telah dilantik sebagai Timbalan Pengerusi dan seterusnya beliau menerajui persatuan berkenaan sejak 2018 hingga kini.

Kakitangan dan warga kerja R-TIHiLS menyatakan sebesar-besar ucapan tahniah kepada beliau di atas satu lagi pengiktirafan terhadap sumbangan dan usaha beliau dalam memelihara dan melestarikan sejarah, budaya dan kearifan tempatan negeri Terengganu Darul Iman.